Kekadang Kita Terlupa…



Kekadang penting jugak untuk kita berfikir mengenai hidup dan sebagainya.

Adakah kita terasa dalam kita berdoa ada sedikit salahnya. Sebagai contoh, “Ya ALLAH lindungilah harta benda ku dari segala ancaman kecurian Ya ALLAH”. Satu kesalahannya adalah, si pendoa lupa bahawa pemilik mutlak adalah ALLAH, bukanlah si pemegang harta tersebut. Manusia hanyalah pemegang amanah, bukanlah milikan mutlak harta tersebut. Sepatutnya doa tersebut berbunyi begini " Ya ALLAH, Engkau lindungilah harta-harta Engkau yang diamanahkan kepada aku dari segala mara bahaya".

Dan seterusnya, kita selalu melihat bahawa segala sifat kebaikan sahaja merupakan ciptaan ALLAH, padahal keburukan juga adalah ciptaan ALLAH. Walaupun ia ciptaan ALLAH, namun ALLAH tidak sekali-kali akan mempunyai sifat-sifat cela tersebut. Andai ada yang selalu berkata "Yang baik itu datang dari ALLAH, yang buruk itu datang dari silap saya sendiri” tegurlah, bahawa silap itu juga adalah datang dari ALLAH, cuma kita yang memilih untuk silap atau benar.

Dan yang terakhir adalah, manusia sentiasa berdoa supaya diberikan itu ini, itu ini. Sememangnya yang ini tidak salah, seperti yang selalu kita berdoa, "Ya ALLAH berilah aku dapat no 1 dalam periksa kali ini". Adalah sebaiknya jika berdoa , "Ya ALLAH, aku selalu inginkan yang terbaik dalam peperiksaan seperti mana anggapan manusia biasa, namun, aku meminta kepadaMu yang terbaik, andai gagal itu terbaik untuk aku, turunkanlah kegagalan yang berhikmah itu kepada aku".

Jadi, sekiranya begitu, kita takkan bersedih, andai berjaya, kita akan bersyukur, andai kita gagal, kita akan sedar gagal itu berhikmah.