USUL MA'RIFAT

Bermulanya usul ma'rifat ini ialah untuk mentakrifkan hal keadaan kita di dalam masa kita beramal. Sesudah kita faham di atas segala- gala rukun dan jalan-jalan di dalam hal keadaan agama Islam, barulah kita memulakan segala amalan.


Seperti sabda Rasulullah SAW, ertinya :

"Bermula sembahyang (solat) itu ada tiga bahagian :

1. Sembahyang orang-orang Mubtadi -

Yakni semata-mata ia untuk menutupkan fitnah dunia. Dan sekadar mengetahui akan segala rukun-rukun dan waktu serta berpakaian bersih dan mengetahui wajib dan sunat semata-mata ia untuk mendapat pahala. Maka amalan ini syirik semata-mata.

 2. Sembahyang orang Mutawasit -

Menyempurnakan perintah Allah semata-mata hatinya berhadapkan Allah. Tiada ia mengira dosa dan pahala. Semata-mata ia berserah kepada Allah. Maka di atas amalan ini adalah lebih baik daripada yang pertama itu, tidaklah ia terkena syirik.


3. Sembahyang orang Mumtahi -

Tiada ia sembahyang dengan sebenar-benarnya melainkan Allah, kerana ditilik pada dirinya adalah golongan dhoif, fakir, hina dan lemah.

Semata-mata pandangan di dalam sembahyang itu tiada dengan kehendak-nya melainkan Allah."

La' maujud bila' hakikat ilallah : "Tiada maujud bagi hakikatku dengan sebenar-benarnya melainkan Allah".

La' haiyyun bila' hakikat ilallah : "Tiada yang hidup bagi hakikatku dengan sebenar-benarnya melainkan Allah".

La' 'alimun bila' hakikat ilallah : "Tiada yang mengetahui bagi hakikatku dengan sebenar-benarnya melainkan Allah".

La' qadirun bila' hakikat ialallah : "Tiada yang berkuasa bagi hakikat ku dengan sebenar-benarnya melainkan Allah".

La' iradatun bila' hakikat ilallah : "Tiada yang berkehendak bagi hakikatku dengan sebenar-benarnya melainkan Allah".

La' sami'un bila' hakikat ilallah : "Tiada yang mendengar bagi hakikatku dengan sebenar-benarnya melainkan Allah".

La' basirun bila' hakikat ilallah : "Tiada yang melihat bagi hakikat ku dengan sebenar-benarnya melainkan Allah".

Wa la' mutakallimun bila' hakikat ilallah : "Tiada yang berkata-kata bagi hakikatku dengan sebenar-benarnya melainkan Allah.

Maka inilah yang sebenar-benarnya sembahyang seperti sabda Abu Hurairah r.a. :

"Sembahyanglah kamu seperti Rasulullah SAW sembahyang katanya :

Takbirlah kamu seperti Rasulullah SAW takbir.
Qiamlah kamu seperti Rasulullah SAW qiam.
Ruku'lah kamu seperti Rasulullah SAW ruku'.
Sujudlah kamu seperti Rasulullah SAW sujud.
Tahiyyatlah kamu seperti Rasulullah SAW tahiyyat.
Salamlah kamu seperti Rasulullah SAW salam."

Begitulah seterusnya di dalam amalan. Janganlah sekali-kali kita buat tanpa mempelajari, nanti sia-sia sahaja amalan kita itu. Bak kata pepatah "Kalau berdayung biarlah di air. Lambat laun kita akan sampai jua".

Maka sesudah kita ketahui akan segala rukunnya, maka wajiblah kita mengetahui akan segala bermula niat terlebih dahulu. Sebabnya niat itu bukannya mudah untuk kita memahaminya. Kerana yang dikatakan niat itu ialah tiada berhuruf, tiada berupa dan tiada bersuara.

Mana yang dinamakan niat, jikalau ada huruf boleh dibaca. Jikalau ada suara boleh didengar. Jikalau ada rupa boleh dipandang. Jikalau dapat nyata ia di atas huruf, rupa dan ada suara, maka ini bukannya niat lagi.

Seperti sabda Rasulullah SAW :

"Qasdu syai-in muktarinan bi fiklihi"

Ertinya :

"Menyehaja sesuatu hal keadaan dipersertakan dengan perbuatan."

Dan satu lagi Hadis mengatakan :

"An niatu bilqalbi bila' sautin wala' harfin"

Ertinya :

"Bahawasanya niat itu di dalam hati, tiada suara dan tiada berhuruf."

Jikalau niat itu kita kata di dalam hati, umpamanya tatkala mengata "Allahu Akbar" : Aku sembahyang fardhu Zohor atau fardhu Asar umpamanya di dalam huruf yang lapan itu. Maka ini dinamakan dia niat 'arfiah. Inilah niat bagi kedudukan orang-orang awam yakni di atas mereka baru menuntut ilmu.

Adapun yang dikatakan niat itu terbahagi ia kepada tiga :

1 - Qasad : Menyatakan pada "usalli fardhu" menandakan ada waktu
pada hamba yang taat.

2 - Ta'rad : Menyatakan pada "arba'a raka'at" menandakan ada rukun,
yakni bersedia hamba untuk menunaikan.

3 - Ta'yin : menyatakan pada "Lillah Ta'ala" menandakan suruhan Allah
yakni menghadapi kiblat hati.

Maka sesudah nyata Qasad, Ta'rad, Ta'yin bererti telah nyatalah kiblat dada kepada Baitullah. Kiblat hati kepada nyawa zat memandang zat. Sifat memandang sifat. Baharulah kita mengatakan "Allahu Akbar".

Serta hadir mata hati musyahadah kepada Zat Allah Ta'ala semata-mata.
Maka inilah dinamakan niat. Seperti yang dinyatakan di dalam Hadis Imam al-Gahazali r.a. katanya, "Adapun kedudukan usalli, fardhu, rakaat, lillah ta'ala, Allahu Akbar."

1. Usalli - maksudnya amanah Tuhan terhadap hamba, maka tatkala
hambaNya telah menerima syariatNya, maka wajiblah kembalikan
kepadaNya dengan keadaan yang sempurna.

2. Rakaat - menyatakan hal kelakuanNya. Maka hilangkanlah kehendakmu
di dalam halNya dan hapuskanlah fe'el mu di dalam kelakuanNya
baharulah sah amalannya.

3. Lillahi ta'ala - Menyatakan sirNya (rahsia). Maka fana'lah sir
iktikad cinta rasa dan berahi mu di dalam sir Allah. Baharulah
nyata ada kiblat bagi kamu.

4. Allahu Akbar - menyatakan kaya Tuhan terhadap hamba. Kerana hamba sampai kepada seruan Allah Ta'ala kerananya Allah Ta'ala esa, Muhammad yatim, hamba dhoif. Tiap-tiap yang datang mesti akan kembali. Maka kembali sekalian hamba-hamba itu di dalam seruan Allahu Akbar. Maka bergemalah suara-suara hambamu yang taat itu mengatakan dan memuji akan nama Allahu Akbar dan terlintaslah suara mu'minnya terus tujuh petala langit dan terus tujuh petala bumi. Maka bersahut-sahut akan roh-roh Anbia' dan Aulia' serta Malaikat dengan katanya, "Sejahteralah umat-umat mu ya Muhammad!".

5. Fardhu - sah dan nyata. Bersifat di atasnya hamba. Maka tiap-tiap yang bersifat hamba mestilah ada yang empunya hak. Maka kembalilah sifat-sifat mu kepada yang berhak. Cara-cara hendak kembalikan kepada yang berhak, itulah sebabnya diwajibkan kepada fardhu. Tiap-tiap perbuatan ataupun amalan adalah dengan fardhu. Tanpa dengan niat fardhu perbuatan itu sia-sia sahaja. Maka tidak berertilah kamu beramal. Kerana fardhu itu berpandukan kepada sifat Wahdaniah. Umpamanya kita mesti ketahui mana dia yang dikatakan fardhu sebelum fardhu dan mana yang dinamai fardhu di dalam fardhu dan di mana terletaknya fardhu di akhir fardhu. Oleh itu kita seharusnya mencari kesimpulan ini jika kita mahu sempurnakan amalan kita.

Jalan sudah ada. Kepada saudara/i maka sayugialah mencari maksud pengajaran ini. Dan bertanyalah kepada mana-mana golongan Guru Mursyid yang hakikat lagi ma'rifat.

InsyaAllah!

Wallahu ta'ala a'lam.......

Wassalamu.......

- Ali Cermin